SUSPEK direman empat hari. FOTO/ Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Bengang diminta memulangkan wang upah RM50, seorang buruh naik hantu apabila menyerang seorang lelaki menggunakan parang dalam kejadian di Chendering.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9.40 pagi semalam ketika mangsa berusia 56 tahun pergi ke rumah suspek berusia 38 tahun untuk meminta semula duit upah RM50 yang diberikan sebagai bayaran pendahuluan bagi kerja pembersihan.

Menurut sumber, suspek sebelum ini berjanji akan melakukan kerja pembersihan seperti diarahkan sebelum mangsa menyerahkan RM50 sebagai upah.

Suspek bagaimanapun tidak melakukan kerja yang dijanjikan. Mangsa yang tidak berpuas hati mahu meminta semula upah yang diberikan sebelum ini.

“Bagaimanapun, suspek enggan memberi semula wang itu sehingga membawa kepada pertengkaran mulut sebelum mangsa mengambil keputusan beredar kerana bimbang kejadian buruk berlaku.

“Suspek yang tidak berpuas hati mengambil sebilah parang dan cuba menyerangnya namun mangsa bernasib baik kerana sempat mengelak.

“Mangsa segera masuk ke dalam kenderaan pacuan empat roda namun suspek yang semakin tidak terkawal bertindak membaling senjata itu sebelum ia terkena pada bahagian belakang kenderaan mangsa,” katanya.

Sumber berkata, suspek yang masih tidak berpuas hati mengambil semula senjata itu dan cuba mencederakan mangsa sekali lagi.

Mangsa bernasib baik apabila kekecohan itu disedari seorang penduduk yang menghalang suspek dengan memegang suspek sebelum meminta mangsa beredar.

“Susulan itu laporan dibuat mangsa di Balai Polis Chendering dan suspek berjaya ditangkap kira-kira jam 1.20 pagi di rumahnya,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Wan Aziantie Ab Karim membenarkan suspek direman selama empat hari sehingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 6:25 PM