Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid
am@hmetro.com.my


CALON Bebas Mohd Nor Yassin hanya akan memulakan kempen rasminya bertemu pengundi Jumaat ini, biarpun tempoh 14 hari berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau sudah pun masuk hari ke lima hari ini.

Bekas pensyarah itu ketika dihubungi Harian Metro pagi ini berkata, sejak penamaan calon Sabtu lalu, beliau hanya berkempen kepada saudara mara dan sahabat terdekat sekitar Kampung Sega.

“Jumaat ini barulah saya akan mula bertemu orang ramai untuk meraih undi dan akan menjemput media untuk membuat liputan.

“Saya lambat sedikit kerana ada beberapa isu yang perlu diselesaikan, namun saya masih bertanding atas tiket Bebas dan bukannya Parti Amanah Negara (AMANAH),” katanya.

Ditanya apakah isu dalaman itu berkaitan pemecatannya sebagai ahli AMANAH yang juga rakan sekutu Pakatan Harapan (PH), Mohd Nor, 67, mengakui isu itu sudah selesai dan dia kini adalah calon Bebas.

“Saya adalah calon Bebas dan turut mempunyai markas di Kampung Sega untuk mengatur strategi kempen bermula Jumaat ini,” katanya.

Sabtu lalu, Naib Presiden AMANAH, Datuk Husam Musa dilaporkan berkata keahlian Mohd Nor 67, sebagai ahli secara automatik gugur selepas bertanding sebagai calon Bebas pada PRK DUN Rantau.

Mohd Nor yang mula menjadi ahli AMANAH 10 Mac lalu adalah bekas calon PAS yang tewas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 11:18 AM
    SEREMBAN 30 MAC 2019. Calon Bebas, Mohd Nor Yassin ketika hadir sesi penyerahan borang pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sri Sendayan. NSTP/HASRIYASYAH SABUDIN