MUHAMAD Kamal Ariffin maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan kereta yang memotong lori dalam kemalangan di Jalan Pinang Tunggal, Kepala Batas, hari ini. FOTO ihsan polis.
Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my


TINDAKAN seorang guru wanita memotong sebuah lori mengakibatkan seorang pekerja kilang maut apabila kenderaannya bertembung dengan motosikal ditunggang mangsa dalam kejadian di Jalan Pinang Tunggal, Kepala Batas, hari ini.

Dalam kejadian 7.15 pagi itu, mangsa Muhamad Kamal Ariffin Karim, 26, meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu wanita berusia 36 tahun memotong sebuah lori dipandu lelaki berusia 41 tahun.

Menurutnya, pada masa sama sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki datang dari arah bertentangan dan kereta dipandu wanita terbabit tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan motosikal itu.

“Hasil siasatan awal di lokasi kemalangan mendapati wanita itu yang memandu Proton Preve datang dari arah Permatang Setar menghala Pinang Tunggal.

“Apabila sampai di lokasi, dia memotong sebuah lori dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah motosikal dalam perjalanan dari Sungai Petani ke Pinang Tunggal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noorzainy berkata, akibat daripada pertembungan itu mangsa tercampak dari motosikalnya dan parah.

Beliau berkata, mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan bagaimanapun dia disahkan meninggal dunia ekoran kecederaan dialaminya.

“Dalam kemalangan itu, pemandu wanita berkenaan dilaporkan cedera di mata dan jari kanannya turut bengkak manakala pemandu lori tidak cedera.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 10:06 PM