Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid

KEMPEN pilihan raya calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram di warung hari ini dikejutkan dengan dendangan lagu daripada bekas vokalis kumpulan Qiara.

Ahmad Nordi Nayan, 44, atau lebih dikenali dengan nama Nodi ketika itu sedang menikmati minuman di warung berkenaan di Taman Sendayan Indah, Sendayan apabila beliau tiba-tiba dihampiri calon daripada PKR itu.

Selepas berbual seketika, Nodi menghadiahkan lagu khas kepada Dr Streram yang diubah liriknya daripada lagu kumpulan Qiara berjudul Hanya Padamu nyanyiannya yang terkenal ada awal 1990an.

Tindakan spontannya itu disambut baik Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau itu bersama jentera kempen parti yang memberi tepukan dan bergambar bersamanya.

Menurut Dr Streram, walaupun tidak begitu mengenali penyanyi rockers itu, beliau amat terharu kerana selebriti itu sanggup menggubah lagu yang ditujukan kepadanya.

“Saya berterima kasih kerana Nodi telah memberikan saya sedikit hiburan yang dapat mengurangkan keletihan berkempen pada hari keempat ini.

“Saya lihat beliau masih berbakat dan suaranya yang merdu mungkin boleh digunakan untuk membantu PH menarik golongan muda.

“Inilah yang kita harapkan apabila golongan artis turut bersama membantu kerajaan mendekati orang muda untuk menjelaskan perkara sebenar di sebalik isu yang timbul di media sosial,” katanya.

Sementara itu, Qodi berkata, walaupun bukan pengundi di situ, dia berharap rakyat dapat membuat pilihan bijak dan tidak termakan dengan berita tidak sahih di media sosial untuk mengelirukan mereka.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 8:40 PM
    02 APRIL 2019. REMBAU. Bekas vokalis kumpulan Qiara, Nodi menyanyikan lagu kepada calon Pakatan Harapan Dr S Streram pada Program Kempen di warung Taman Sendayan Indah. VIDEO ASRIZAL ARIS