GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


LELAKI tergamak menumbuk muka dan badan ibunya dalam kejadian di Air Jerneh, di Chukai, Sabtu lalu.

Kejadian dipercayai berlaku 8.45 pagi ketika ibu malang berusia 64 tahun berada di rumah sebelum suspek berusia 39 tahun tiba-tiba mengamuk.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, mangsa yang terkejut dengan tindakan suspek cuba menenangkan anaknya itu, namun suspek semakin agresif apabila menumbuk muka dan badan mangsa.

“Akibat tindakan suspek, mangsa yang bekerja sebagai penoreh getah menanggung kesakitan pada badannya sebelum nekad membuat laporan polis.

“Mangsa memaklumkan, suspek yang juga penagih sering mengamuk dan memecahkan barangan yang ada di dalam rumah sebelum ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Said berkata, susulan laporan dibuat mangsa di Balai Polis Ayer Jerneh, suspek ditahan di tepi jalan di kawasan Air Jerneh pada hari yang sama.

Katanya, suspek yang positif dadah kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 10:55 AM