FATIMAH dipenjara sembilan tahun selepas mengaku memiliki heroin.
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


SEORANG tukang urut wanita dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu di sini, semalam terhadap tuduhan memiliki heroin, Januari lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Fatimah Mustafa, 51, mengaku salah terhadap pertuduhan.

Mahkamah turut memerintahkan ibu enam anak itu menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkap pada 18 Januari lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki heroin dengan berat bersih 7.68 gram di tepi jalan Kampung Seberang Pasir Mas Salor, di sini, jam 7 malam, 18 Januari lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan sebatan minimum 10 kali rotan.

Berdasarkan fakta kes, pengadu bersama anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan mengesan sebuah Proton Iswara dipandu seorang wanita.

Pemeriksaan mendapati wanita itu memegang satu plastik mengandungi tujuh botol plastik cerah bertudung kuning berisi serbuk putih dipercayai dadah.

Terdahulu, tertuduh memohon hukuman ringan bermula dari tarikh dia ditangkap.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Abu Arsalnaa Zainal Abidin memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan pemilikan dadah jenis heroin yang semakin berleluasa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 7:00 AM