SALAHUDDIN (tengah) bersama penerima anugerah dan usahawan. FOTO Rosdan Wahid
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menjana nilai jualan RM2.9 bilion melalui 2,755 outlet pemasaran di seluruh negara, tahun lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata, setakat ini, seramai 68,988 usahawan tani terkumpul di bawah bimbingan FAMA.

Beliau berkata, FAMA mensasarkan akan mencapai pertambahan nilai jualan kira-kira 10 peratus tahun ini.

“FAMA sudah membangunkan banyak outlet pasaran selaras dengan peranannya memperluaskan saiz pasaran produk agromakanan dan memastikan produk agro makanan tersedia.

“Petani atau pengeluar menerima harga yang munasabah dan menguntungkan manakala pengguna dijamin bekalan berkualiti dengan harga berpatutan.

“Selain itu, sebanyak 729 infrastruktur pemasaran terkumpul juga disediakan bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada kumpulan sasar, ” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Usahawan Bimbingan FAMA di Selayang, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi FAMA Ishak Ismail dan Ketua Pengarah FAMA Datuk Ahmad Ishak.

Lebih 1,000 usahawan pemasar tani dan bimbingan FAMA di seluruh negara menghadiri program berkenaan.

Salahuddin berkata, Februari lalu menyaksikan peningkatan kepada 3,137 outlet pemasaran dan 71,740 bilangan usahawan pemasar dengan nilai jualan sebanyak RM386 juta.

“Tumpuan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) melalui FAMA tahun ini adalah memberi tumpuan kepada kelangsungan pelaksanaan program dan projek pemasaran agromakanan.

“Ia bagi meningkatkan pendapatan usahawan tani seiring dengan Hala Tuju MOA iaitu Prioriti dan Strategi 2019-2020.

“Ia dirangka berasaskan tiga dimensi sektor agromakanan iaitu keselamatan makanan negara, pembangunan ekonomi luar bandar serta penggalakan pelaburan swasta dan perdagangan antarabangsa, ” katanya.

Menurutnya, MOA akan berusaha untuk meningkatkan pendapatan pengusaha pertanian di seluruh negara.

“Antara inisiatif yang sedang dilaksanakan adalah Program Sumber Kekayaan Baharu, Projek Pertanian Rakyat dan pemerkasaan pembabitan pengusaha dalam industri hiliran.

“Saya meminta FAMA memainkan peranan lebih signifikan untuk memastikan akses pasaran yang lebih besar bagi hasil pertanian tanaman kontan, sayur-sayuran dan buah-buahan, ” katanya.

Dalam program ini, Salahuddin turut menyampaikan Anugerah Usahawan Global kepada kepada empat penerima mengikut kategori iaitu kategori Agropreneur Muda, Agrobazaar Online, Produk Industri Asas Tani dan Produk Segar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 9:10 PM