PEMERIKSAAN premis makanan oleh anggota penguat kuasa MBJB. FOTO Ihsan MBJB
Nurul Amanina Suhaini
am@hmero.com.my


SEBANYAK 153 premis makanan mendapat gred A menerusi Sistem Penggredan Premis Makanan yang dijalankan di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), sejak awal tahun hingga Mac lalu.

Datuk Bandar MBJB, Datuk Amran A Rahman berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan 28.6 peratus premis mendapat gred A, berbanding 13.6 peratus yang mendapat gred itu dalam tempoh sama tahun lalu.

Katanya, sebanyak 2,745 premis makanan akan diperiksa dan digredkan mengikut tahap kebersihan semasa, bagi tahun ini.

“Setakat ini, sebanyak 533 premis daripada 2,745 premis sudah diperiksa dan digredkan, daripada jumlah itu, sebanyak 153 premis mendapat gred A, 282 premis mendapat gred B dan 97 premis mendapat gred C.

“Rekod mencatatkan terdapat peningkatan tahap kebersihan premis makanan yang mendapat gred A dan B berbanding tahun lalu, bagi tempoh sama, manakala penurunan dicatatkan bagi premis yang mendapat gred C,” katanya berucap pada Majlis Mesyuarat Penuh MBJB di Johor Bahru, hari ini.

Amran berkata, kompaun yang dikeluarkan MBJB bagi kesalahan seperti tidak menjaga kebersihan premis, tiada suntikan tifoid dan mengalirkan air cucian ke parit awam mencatatkan penurunan yang mendadak.

“Ini kerana sejumlah 56 kompaun dikeluarkan berbanding 275 kompaun yang pada tahun lalu.

“Peningkatan tahap kebersihan premis adalah hasil tindakan penguatkuasaan tegas seperti pengeluaran notis amaran dan kompaun, selain pendidikan kesihatan yang diberikan kepada peniaga serta pengendali makanan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, masih terdapat premis yang gagal mematuhi syarat dan standard ditetapkan selain mendapati ada di antaranya berada pada tahap yang tidak memuaskan.

“Jabatan Kesihatan MBJB akan mengadakan taklimat pengukuhan tahap kebersihan premis makanan bagi mempertingkat pengetahuan pengendali makanan mengenai tatacara pengurusan, selain syarat pelesenan dan Undang-Undang Kecil di kawasan MBJB.

“Langkah itu supaya sasaran MBJB untuk semua premis makanan mendapat sekurang-kurangnya gred B tercapai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 8:43 PM