Ahli RBKM membersihkan Tanah Perkuburan Islam Kampung Kelubi. FOTO Rasul Azli Samad
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my


DUA kali sebulan, kira-kira 100 ahli Rakan Bersih Kubur Melaka (RBKM) meluangkan masa melakukan Jelajah Amal Pembersihan Tanah Perkuburan Islam di negeri itu.

Tanpa mengharapkan balasan mahupun meraih populariti, kumpulan sukarelawan itu komited melakukan kerja amal berkenaan dengan berkumpul seawal jam 8 pagi di tanah perkuburan ditetapkan.

Ahli Jawatankuasa RBKM, Mohd Haris Win Musli Abdullah, 36, berkata, sejak ditubuhkan pada Oktober 2017, 25 tanah perkuburan Islam di sekitar negeri itu sudah dibersihkan pertubuhan berkenaan.

“Aktiviti dilakukan RBKM ini bertujuan menggalak lebih ramai masyarakat mengunjungi tanah perkuburan bukan hanya menunggu waktu tertentu seperti bulan puasa atau musim perayaan.

“Kami kenal pasti tanah perkuburan tertentu dan meminta keizinan pihak pengurusan seperti kariah terlebih dulu untuk melakukan pembersihan kerana tidak mahu ada pihak menganggap RBKM ceroboh walaupun niat kami ikhlas,” katanya ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kelubi, Jasin semalam.

Menurutnya, aktiviti membersihkan kubur turut membabitkan penyertaan kanak-kanak bagi membuang stigma rasa takut disebabkan perkataan kubur.

“Apabila anak-anak ini ke kubur mereka bukan saja turut serta membersihkan kawasan malah secara tidak langsung diajar adab menziarahi tanah perkuburan.

“Selain RBKM kami turut mendapat sokongan penduduk, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 5:54 PM