Idris Musa
idris@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Memahami kos sara hidup rakyat, kerajaan mengambil inisiatif memperkenalkan kad XTRA 20 yang memberikan diskaun 20 peratus lagi bagi tambang perkhidmatan komuter.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail berkata, diskaun tambang 20 peratus bagi harga tiket KTM komuter itu strategi yang tepat dan baik.

Menurutnya, usaha itu sedikit sebanyak membantu memberikan perkhidmatan yang bermakna buat rakyat kerana ia memberi impak langsung.

“Sudah tentu apa yang kita lakukan hari ini dapat memberi manfaat kepada kumpulan sasar kita.

“Kerajaan sentiasa peka dengan memastikan denyut nadi dan rintihan rakyat diambil kira agar kita terus menikmati kehidupan lebih baik,” katanya berucap ketika melancarkan kad diskaun itu di Stesen Sentral Kuala Lumpur di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Pengurus Besar (Bahagian Perolehan) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Mohd Hider Yusoff dan Pengurus Besar Perbadanan Aset Keretapi (RAC) Azhar Ahmad.


WAN Azizah (tengah) melancarkan kad XTRA 20 di Stesen Sentral Kuala Lumpur, semalam.

XTRA 20 adalah kad diskaun bagi warganegara Malaysia, dengan 40,000 kad pertama diberikan secara percuma dan selepas itu setiap kad dicaj RM3.

Dr Wan Azizah berkata, apabila kerajaan membuat keputusan memberikan tambahan diskaun tambang perkhidmatan KTM komuter itu ianya dibuat hasil maklum balas serta pandangan dari pelbagai pihak khususnya Kementerian Pengangkutan serta agensi bernaung di bawahnya.

“Kad baharu mula diedarkan di stesen KTMB yang menyediakan perkhidmatan komuter.

“Pengguna hanya perlu menunjukkan MyKad bagi memperoleh kad baharu. Pemilikan kad baharu adalah percuma sepanjang tempoh promosi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 6:30 AM