GAMBAR hiasan
Faliq Lajim
am@hmetro.com.my


SEORANG lelaki meninggal dunia selepas menyertai aktiviti kayuhan basikal pada program ‘60+ Earth Hour’ anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Shah Alam, malam tadi.

Mangsa, Iskandar Dzalman Yahya, 47, dikatakan rebah ketika berkayuh sebelum dikejarkan ke Hospital Shah Alam (HSAS).

Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di hospital itu dipercayai akibat serangan jantung.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di Persiaran Datuk Bandar hadapan Sirim Seksyen 14, Shah Alam pada 9.50 malam.

“Mangsa dipercayai terjatuh dari basikal ditunggangnya di lokasi berkenaan.

“Bantuan kecemasan sudah diberikan pasukan perubatan sebelum mangsa dihantar ke HSAS. Doktor kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya kepada Harian Metro.

Baharudin berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Terdahulu, Iskandar Dzalman memuat satu status di akaun Facebooknya pada 8.12 pagi semalam menyatakan dia akan menunaikan solat Maghrib sebelum menyertai kayuhan itu.

“SABTU (hari ini tau!!!) MALAM AHAD......Jom solat Maghrib kat Masjid Al-Azhariah Seksyen 18 (https://goo.gl/maps/sUQb6imuXsA2) Lepas maghrib (tayar golek 8pm tau!!!).

“Kita kayuh alon2 bersama King Khuzairi Khalil and the rest of #GengDuaEnam #26aintdead ke Dataran Kemerdekaan Shah Alam sebab ada acara Earth Hour Ride Around Shah Alam.

“Kena tiba sana sebelum 8.30pm!!!!! Sbb kayuhan Earth Hour start 8.30pm!!!JOMMMMM!!!!! Lepas event, kita balik Seksyen 18... ngeteh kat Siam! tak payah bawak passport lah!,” katanya dalam catatan itu.

Rakan Facebook mangsa turut meninggalkan komen di ruang status berkenaan dengan ucapan takziah serta bacaan doa untuk arwah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 8:00 PM