LELAKI maut dirempuh kenderaan pacuan empat roda akibat melanggar lampu merah. FOTO Community Roda Johor - CRJ
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


TINDAKAN lelaki melanggar lampu isyarat merah mengundang padah apabila motosikal ditunggangnya berlanggar dengan pacuan empat roda ketika di persimpangan lampu isyarat Jalan Puteri, Puteri Wangsa di Johor Bahru, malam tadi.

Dalam kejadian 7.40 malam itu, mangsa berusia 26 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 itu maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, hasil siasatan awal mendapati pemandu Toyota Hilux dari arah Taman Puteri Wangsa menghala ke Taman Bestari Indah dan berhenti di lampu isyarat Jalan Puteri kerana lampu isyarat merah.

“Apabila lampu isyarat bertukar kepada hijau, pemandu pacuan empat roda itu meneruskan perjalanan dan hendak membelok ke kanan, namun secara tiba-tiba penunggang motosikal dari arah kanan melanggar bahagian kanan kenderaan itu.

“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal parah di bahagian kepala dan maut di lokasi kejadian, manakala pemandu Toyota Hilux tidak cedera,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, untuk bedah siasat.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Satu rakaman video berdurasi satu minit yang dimuat naik ke Facebook (FB) menunjukkan penunggang motosikal terbabit tidak mematuhi isyarat lampu merah dengan tidak berhenti sebelum melanggar pacuan empat roda terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 3:59 PM