BAPA, Nor Azman Darus, 55 dan ibu, Rohana Hamzah, 52 menunjukkan sijil dan trofi Anugerah Penghargaan Khas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi yang diterima anaknya, Allahyarham Mohd Hafiz Nor Azman, 23 berikutan arwah yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan ketika berada pada perlumbaan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018 sempena Anugerah Tokoh Siswa 2018 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my


BAPA bekas pelumba Cup Prix negara, Allahyarham Mohd Hafiz Nor Azman terharu apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menganugerahkan Penghargaan Khas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi kepada anaknya dalam Anugerah Tokoh Siswa 2018, malam tadi.

Berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di Nilai, Nor Azman Darus, 55 hanya mampu mengesat air mata sebaik menerima penghargaan disampaikan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir.

Dia ditemani isteri, Rohana Hamzah, 52 berkata, anugerah itu membuktikan kerajaan mengingati segala jasa dan bakti meskipun anaknya sudah tiada.

“Pengiktirafan ini akan melepaskan kerinduan buat arwah dan semoga dia ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Menurut Nor Azman, arwah yang juga anak ketiga daripada empat beradik adalah graduan Diploma Kejuruteraan Automatif dari Politeknik Ungku Omar, Perak.

“Ketika kemalangan itu, arwah sudah menamatkan pengajian tahun lalu. Sepatutnya arwah mengikuti konvokesyen Ogos depan, namun takdir Allah menentukan segalanya,” katanya.

Menurutnya, dia dihubungi wakil KPM baru-baru ini dan bertolak dari Ipoh, tengah hari semalam bersama isteri untuk menerima anugerah itu.

“Terima kasih KPM atas penganugerahan ini dan saya amat terharu walaupun hadir mewakili arwah,” katanya.

Katanya lagi, anak lelaki bongsunya yang berusia 20 tahun kini menuntut dalam jurusan di politeknik sama dengan arwah.

Harian Metro pada 16 Disember tahun lalu melaporkan Mohd Hafiz maut kemalangan ketika perlumbaan pusingan akhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor Bahru.

Berita berkaitan

Pelumba Cub Prix maut [METROTV]

'Tuntut siasatan kematian Hafiz'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 11:59 AM