Shahrinnahar Latib
am@hmetro.com.my


GURU kerugian RM113,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang mendakwa mangsa terbabit dengan penggubahan wang haram.

Wanita berusia 51 tahun itu dikatakan menerima panggilan daripada suspek yang mendakwa sebagai pegawai polis dan kakitangan bank pada 28 Februari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek mendakwa mangsa terbabit dalam kes penggubahan wang haram berjumlah RM1.5 juta dan perlu membayar sejumlah wang jaminan bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

“Pada awalnya, suspek iaitu seorang wanita memperkenalkan diri sebagai kakitangan bank dan memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan bayaran pinjaman sebelum menyambung panggilan kepada pegawai polis dikenali sebagai ‘Sarjan Wong’.

“Pegawai polis itu memaklumkan mangsa terbabit dalam kes penggubahan wang haram berjumlah RM1.5 juta dan menyambung panggilan kepada seorang lagi pegawai polis ‘Inspektor Narita’ yang berjanji boleh membantu mangsa menyelesaikan kes berkenaan.

“Mangsa yang percaya dengan dakwaan itu membuat pinjaman bank berjumlah RM80,000 untuk membayar wang jaminan seperti diarahkan suspek,” katanya.

Mohd Wazir berkata, pada 6 Mac lalu, mangsa dihubungi ‘Inspektor Narita’ dan memaklumkan akaun Tabung Haji dan Bank Rakyat miliknya akan dibekukan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Suspek meminta mangsa pergi ke bank terbabit untuk menukar nombor telefon didaftarkan kepada nombor telefon lain yang diberikan olehnya. Mangsa kemudian mengikut segala arahan diberikan oleh ‘Inspektor Narita’ kerana bimbang akan dikenakan tindakan,” katanya.

Beliau berkata, selepas mangsa melakukan proses berkenaan, ‘Inspektor Narita’ melarang dia untuk melakukan sebarang transaksi selama tujuh hari kononnya untuk siasatan.

Katanya, Jumaat lalu mangsa mula berasa curiga dan terus menghubungi rakannya yang bekerja sebagai penolong pengurus bank serta hasil semakan mendapati berlaku pindahan wang dari akaunnya ke dalam akaun lain berjumlah RM113,000 sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 11:14 AM