Mary Victoria Dass
maryvictoria@nstp.com.my


KEHADIRAN pelajar ke 111 sekolah di Pasir Gudang selepas terpaksa bercuti akibat krisis pencemaran udara amat baik.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan berkata, tinjauan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang II di Taman Mawar mendapati kehadiran pelajar pada hari pertama persekolahan hari ini mencecah lebih 90 peratus, dan situasi sama di sekolah lain.

Beliau berkata, senario positif itu menunjukkan keyakinan ibu bapa dan pelajar terhadap keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membuka semula 111 sekolah di Pasir Gudang pada hari ini selepas cuti krisis dan cuti penggal pertama.

“Mereka juga yakin dan percaya dengan laporan agensi berkaitan mengenai keadaan kualiti udara yang semakin pulih selepas kerja pembersihan dijalankan dengan kos sejumlah RM6 juta di Sungai Kim Kim.

“Kami mendapati masih ada yang menggunakan penutup hidung dan mulut, ia sebagai langkah keselamatan dan sebagai manusia memang perasaan takut adalah perkara biasa,” katanya.


PELAJAR menjalani sesi pembelajaran seperti biasa di Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Gudang II. FOTO Hairul Anuar Ab Rahim

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Azman Adnan.

Aminolhuda berkata, keadaan udara pada hari ini baik dan semua sekolah yang dibuka semula beroperasi seperti biasa.

“Saya percaya guru mampu menyelesaikan masalah pembelajaran yang ketinggalan dan mengambil langkah tertentu bagi memastikan kumpulan pelajar dan murid menguasainya sebelum peperiksaan.

“Malah tarikh peperiksaan juga tidak ditangguh dan berjalan seperti dirancang,” katanya.

Aminolhuda berkata, pihaknya juga menyerahkan borang tuntutan Takaful Pelajar Sekolah Malaysia kepada 355 pelajar yang terjejas.

“Mereka yang dimasukkan ke wad layak menuntut RM25 sehari bagi tempoh rawatan ketika ditahan di wad hospital.

“Kami juga akan mengesan murid dan pelajar yang masih belum menerima borang tuntutan berkenaan,” katanya.

Pencemaran udara pada 7 Mac lalu berpunca daripada pembuangan sisa kimia ke Sungai Kim menyebabkan 111 sekolah membabitkan 115,000 pelajar dan 8,000 guru, ditutup sejak 13 Mac lalu.

Pencemaran yang berlaku menjejaskan kira-kira 6,000 mangsa termasuk pelajar, murid dan penduduk.

Daripada angka berkenaan sebanyak 2,510 orang mendapatkan rawatan selepas mengalami masalah kesihatan berpunca pencemaran berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 10:34 AM