Khairy Jamaluddin berucap pada program ceramah pemimpin bersama rakyat di PDM Pekan Sagga. FOTO Saifullizan Tamadi
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid
am@hmetro.com.my


WALAUPUN dianggap calon ‘boleh menang’ dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, namun kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan sebenarnya memberi impak yang lebih besar bukan saja kepada Negeri Sembilan malah Malaysia.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, ini kerana Mohamad adalah Pemangku Presiden UMNO dan Barisan Nasional yang kini dilihat sebagai ikon politik.

Menurutnya, momentum kejayaan dalam PRK Cameron Highland dan Semenyih memperlihatkan impak yang dibawa Mohamad sejak mengambil alih jawatan itu daripada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Jangan kita anggap PRK DUN Rantau sebagai pilihan raya kecil walaupun calon kita (Mohamad) nama besar di Rantau.

“Apa yang penting, kemenangan ini perlu untuk membuktikan sokongan rakyat mula beralih kepada BN kerana beliau ikon yang sudah membawa kejayaan di PRK Cameron Highland dan Semenyih,” katanya ketika berucap pada Majlis Mesra Bersama Pemimpin di Pekan Sagga malam ini.

Sementara itu, Mohamad berkata, kemenangan dalam DUN Rantau kelak membolehkannya meneruskan tugas sebagai Ketua Pembangkang dalam DUN Negeri Sembilan yang disandangnya sebelum ini.

Katanya, dasar kerajaan negeri perlu berorientasikan rakyat kerana penghujung setiap keputusan tidak seharusnya menghimpit rakyat.

“Kita sebagai pembangkang akan buat 'check and balance' (semak dan imbang) kepada keputusan kerajaan negeri.

“Saya tinggalkan rizab kewangan yang kukuh untuk Negeri Sembilan, jadi kerajaan kini tak seharusnya menghapuskan program kebajikan untuk rakyat malah mereka perlu teruskan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 10:59 PM