Mohd Nor ketika hadir sesi penyerahan borang pada hari penamaan calon PRK DUN. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


KEAHLIAN Mohd Nor Yassin, 67, sebagai ahli Parti Amanah Negara (AMANAH) secara automatik gugur selepas bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Husam Musa berkata, tindakan calon itu adalah keputusan peribadi tanpa membabitkan parti.

“Dia dah masuk calon bebas, dia dah tak jadi ahlilah.

“Mana-mana anggota parti politik yang ambil tindakan sendiri, keahliannya gugur tidak boleh dikaitkan dengan AMANAH,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Festival Gegar 2019 di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kedudukan Mohd Nor sebagai ahli parti AMANAH selepas menjadi calon bebas bertanding dalam PRK DUN Rantau.

Terdahulu, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan menafikan calon itu adalah ahli PAS.

Takiyuddin dalam kenyataan media mendakwa Mohd Nor menyerahkan borang keahlian menyertai AMANAH pada 10 Mac 2019.

PRK DUN Rantau 13 April ini secara rasminya menyaksikan persaingan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) dari PKR, Dr S Streram, penyandang kerusi kawasan Datuk Seri Mohamad Hasan mewakili Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas, R Malar, 51, dan Mohd Nor.

Ditanya sama ada ia menjadi kesalahan, Husam berkata, di dalam politik demokrasi, setiap individu boleh menjadi calon.

“Bukan kesalahan, kerana dalam politik demokrasi, orang itu boleh jadi calon, dia nak bertanding bebas ke apa.

“Tapi secara automatik, dia sudah tidak menjadi ahli parti AMANAH atau parti asal yang dianggotai dulu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 10:32 PM