PASANGAN yang tinggal bersekedudukan ditahan AADK, semalam. FOTO Amran Yahya
Amran Yahya
am@hmetro.com.my


TIGA pasangan kekasih diperiksa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sebuah rumah di Kampung Dioh Besar, Kuala Pilah, semalam, dan dua daripada mereka ditahan kerana positif dadah.

Pegawai AADK daerah, Rozita Muhammad Rusli berkata, suspek yang berusia 16 hingga 23 tahun ditahan menerusi Op Wanted atas maklumat awam, jam 5.20 pagi.

Katanya, sepasukan anggota Unit Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK bergegas ke lokasi dan mendapati enam individu itu tiada ikatan perkahwinan.

"Mereka menjadikan rumah itu untuk melakukan maksiat dan aktiviti penagihan dadah. Seorang wanita berusia 22 tahun difahamkan baru bercerai manakala seorang lagi wanita adalah warga Thailand," katanya.

Rozita berkata, wanita Thailand terbabit diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana pasport tamat tempoh.

"Ujian air kencing mendapati dua lelaki berusia 23 dan 16 tahun positif methamphethamine dan amphetamine. Mereka mengaku menggunakan Eramin 5 dan baru pulang berhibur di sebuah kelab malam di Seremban," katanya.

Beliau berkata, empat individu lain negatif dadah dan kehadiran mereka ke rumah itu mengikuti teman masing-masing.

"Dua lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (APD) 1983," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 10:26 AM