Keadaan wanita yang melecur muka, dada, bahu dan paha akibat disimbah air panas oleh menantunya. FOTO Ihsan PDRM
Garret Dawum
garret@nstp.com.my


BERANG dengan tindakan ibu mentua yang sering menegurnya, menantu wanita menyimbah air panas ke muka warga emas itu dalam kejadian di Jalan Laichee, Sibu Selasa lalu.

Difahamkan, wanita warga Indonesia berusia 26 tahun itu melakukan perbuatan terbabit selepas ibu mentua, 62 tahun menegurnya kerana sering membawa rakan perempuan pulang ke rumah sewa ketika ketiadaan suami.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi mengesahkan kejadian pada 3 petang itu.

Beliau berkata, berlaku pergaduhan antara mangsa dan suspek sebelum suspek bertindak menyimbah air panas ke arah mangsa.

“Akibatnya, mangsa melecur di bahagian muka, dada, bahu dan paha. Mangsa kemudian berlari keluar rumah dan meminta bantuan jiran untuk menyapu ubat gigi pada bahagian melecur.

“Mangsa yang ditemani anaknya membuat laporan jam 3 petang, Rabu lalu selepas mendapatkan rawatan di Hospital Sibu,” katanya.

Stanley berkata, polis turut membawa mangsa ke hospital semula untuk rawatan dan pemeriksaan doktor.

“Pemeriksaan mendapati mangsa melecur dua peratus di bahagian permukaan badan, muka dan bahu sebelah kiri serta bahagian dada,” katanya.

Katanya, bertindak atas laporan itu, polis memberkas suspek dan mendapati pas lawatan sosialnya tamat tempoh 3 November 2016.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan cedera parah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 6:03 PM