MOHD Nizam diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas mengaku bersalah membelasah anak dan isterinya. FOTO Mohd Hilmie Hussin
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


HANYA kerana anak lelaki menghabiskan sebiji burger, seorang penganggur membelasah kanak-kanak berusia tujuh tahun itu dengan menendang muka dalam kejadian di Jalan Semabok Jambatan Duyung, Melaka, Februari lalu.

Malah sebelum itu, lelaki itu turut membelasah isterinya menggunakan batang besi.

Dia akhirnya menerima padah apabila Mahkamah Majistret Melaka menjatuhkan hukuman penjara 11 bulan selepas dia mengaku bersalah di dua prosiding berbeza, hari ini.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Nizam Ramli@Mustafa, 42, mengaku bersalah di hadapan Majistret Muhammad Nazri Ali Rahim.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nizam didakwa mendatangkan kecederaan terhadap anak lelaki berusia tujuh tahun dengan menumbuk dan menendang muka mangsa pada jam 7 pagi, 28 Februari lalu di rumahnya di Jalan Semabok Jambatan Duyung.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda RM4,000 atau kedua-dua sekali.

Mengikut fakta kes, tertuduh menendang anaknya di muka kiri selepas mendapati anaknya itu tidak meninggalkan separuh burger untuk dirinya. Kejadian itu dilakukan tertuduh di ruang tamu rumah dan disaksikan isterinya.

Akibat tindakan tertuduh, anaknya mengalami lebam pada mata kiri.

Terdahulu, ketika prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukumannya diringankan atas alasan tertekan dengan hidup dan perlu menanggung isteri serta dua anak selain ibu bapanya yang sangat uzur.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Nazrin menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap tertuduh dari tarikh ditangkap iaitu 4 Mac lalu.

Dalam pada itu, dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Teoh Shu Yu, tertuduh didakwa mengikut seksyen yang sama, dijatuhi hukuman penjara tiga bulan bermula hari ini, selepas mengaku bersalah menumbuk muka dan kepala isterinya berusia 35 tahun menggunakan batang besi, jam 3 pagi, 27 Februari lalu di lokasi dan tarikh sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 5:09 PM