FOTO hiasan
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


PASANGAN kekasih ditahan selepas mencuri pelbagai barangan kosmetik bernilai RM150 di sebuah kedai di Kuala Terengganu, Selasa lalu.

Lelaki berusia 23 tahun dan kekasihnya berusia 22 tahun ditahan dalam kereta Honda Jazz di tepi jalan Sultan Mahmud, kira-kira jam 12.30 tengah malam Rabu lalu.

Hasil pemeriksaan menemui satu plastik putih mengandungi barang dilaporkan hilang dalam but kereta berkenaan.

Sumber berkata, kejadian disedari pengurus kedai yang curiga dengan gelagat pasangan terbabit ketika memasuki premis berkenaan, kira-kira jam 7 malam.

Katanya, pasangan terbabit dikatakan masuk tanpa membeli apa-apa barang.

“Pengurus berkenaan yang curiga kemudian membuat pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum mendapati dua suspek terbabit mencuri beberapa barangan, antaranya dua botol pencuci mekap, dua botol kosmetik serta sebotol pewangi.

“Semua barang dimasukkan ke dalam beg tangan yang dibawa sebelum pengurus terbabit membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada hari sama,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan tangkapan suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 380, Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 4:34 PM