Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


KERAJAAN Selangor akan menilai tahap kerosakan penempatan di Batu 11, di Gombak, yang dilanda ribut dan hujan lebat semalam sebelum memutuskan jumlah bantuan baikpulih dan pembinaan rumah yang rosak.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, antara bantuan lain yang akan disalurkan adalah untuk membina semula rumah yang rosak teruk.

“Kita akan nilai dan ukur tahap kerosakan sebelum kita salurkan bantuan lain seperti bina semula rumah, kita akan lihat sama ada yang terjejas itu mengalami kerosakan kecil atau serius.

“Seterusnya kerajaan negeri akan menampung kos bantuan jika apa yang disumbangkan tidak mencukupi, pusat bencana daerah negeri akan memaklumkan mengenai data yang lengkap untuk tindakan selanjutnya,” katanya.


GOMBAK 29 MAC 2019. Keadaan Pusat Penempatan Asnaf Raudhah, Kampung Gombak Utara Batu 11 yang rosak teruk selepas kejadian ribut semalam. -Foto ASYRAF HAMZAH

Beliau berkata, proses penilaian akan mengambil masa untuk menentukan bantuan bagi membaik pulih kerosakan.

“Perkara ini akan mengambil masa, ada proses tertentu bagaimanapun bantuan untuk kerosakan yang kecil akan lebih segera diberikan,” katanya ketika ditemui selepas hadir melawat 52 mangsa dari 15 keluarga di Dewan Orang Asli Kampung Gombak Utara, Batu 11, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, sebagai bantuan awal wang tunai sebanyak RM500 diberikan kepada setiap keluarga yang terbabit.

“Selain wang tunai, barang-barang dapur turut diberikan kepada keluarga yang terjejas, manakala malam tadi mereka sudah menerima bantuan awal dari pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Selain itu juga kita tempatkan doktor perubatan dan pakar psikologi untuk memenuhi keperluan mangsa,” katanya.

Berita berkaitan

8 asnaf cedera pusat jagaan dihempap pokok [METROTV]

'Keadaan kelam-kabut'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 1:15 PM