JENAZAH Mohd Sajury Abdullah, 63 , Sabariah Harun, 54, Nur Ilham Najwa Rahimi, 20 dan anak angkat Uwais Aiqurney Abdullah, 6, disembahyangkan oleh ahli keluarga dan penduduk kampung. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


“SEMOGA arwah ditempatkan di syurga,” kata Ramzainiah Haron, 48, ibu kepada Nurul Ilham Najwa Rahimi, 20, yang maut bersama empat ahli keluarga dalam kemalangan di Kilometer 325 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu berhampiran Kampung Jeram Busu Raub, semalam.

Jenazah Nurul Ilham Najwa selamat dikebumikan bersama suami isteri, Mohd Sajury Abdullah, 63, Sobariah Haron, 54, dan anak lelaki mereka Uwais AlQurney Abdullah, 6, di Tanah Perkuburan Islam Mukim Junoh di Kota Bharu, 10 pagi hari ini.

Sebelum itu, jenazah empat ahli keluarga itu disembahyangkan di rumah keluarga di Kampung Mak Mayong, di sini.

Jenazah seorang lagi mangsa dalam kemalangan terbabit, Muhamad Faezuan Nor Izuddin, 26, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubang Chenok, Jelawat, Bachok 1.34 pagi.

Ramzainiah berkata, arwah anaknya seorang yang baik dan mendengar kata.

“Saya reda dengan ketentuan Ilahi dan sudah ikhlaskan semuanya. Semoga arwah di tempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya sambil menangis teresak-esak.

Menurutnya, arwah sudah membuat pelbagai perancangan sepanjang cuti semester selama tiga bulan di kampung.

“Arwah tamat peperiksaan pada 20 Mac lalu dan saya cadangkan dia menumpang ibu saudaranya yang kebetulan akan ke Kelantan semalam. Arwah pun tidak keberatan kerana dia memang rapat dengan ibu saudaranya itu.

“Malah, arwah sudah merancang untuk mengambil ujian lesen memandu, berpuasa dan menyambut Aidilfitri di kampung, namun Allah lebih mengetahui,” katanya.

Sementara itu, bapa saudara arwah, Abas Harun, 63, berkata, pengebumian dibuat pagi ini untuk menunggu kepulangan anak angkat pertama Sobariah, Amirul Khairul, 21 yang belajar di Mesir.

“Bagaimanapun, selepas difahamkan dia dijangka sampai di sini 6 petang, kami ahli keluarga sepakat untuk mengebumikan jenazah pada pagi ini juga.

“Alhamdulillah, pengebumian hari ini berjalan lancar,” katanya.

Berita berkaitan

'Ulang tahun perkahwinan pertama dan terakhir kami' [METROTV]

Kepulangan abadi lima sekeluarga

‘Keluarga itu pencinta kucing’

Lima maut kereta rempuh bas ekspres

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 12:19 PM