GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


TINDAKAN tiga lelaki memecah masuk kedai menjual sarang burung di Sungai Karangan, di Kulim, dan mencuri sarang burung bernilai RM112,475 mengundang padah apabila mereka ditahan lima jam kemudian selepas melakukan kegiatan itu, semalam.

Dalam kejadian 9.50 pagi itu, pemilik premis berusia 37 tahun terbabit dihubungi pekerja memaklumkan kedainya dipecah masuk apabila terdapat kesan umpil di pintu kaca selain beberapa kotak jenama sarang burung turut hilang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Safuan Md Noor berkata, siasatan mendapati suspek mencuri 59 kotak sarang burung pelbagai saiz berat bernilai RM112,475 bersama satu walkie talkie milik mangsa.

Menurutnya, hasil pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tiga lelaki 24 hingga 31 tahun memakai topeng mulut mengumpil pintu dengan menggunakan kuku kambing.

“Siasatan juga mendapati suspek datang menaiki kereta Perodua Viva yang dipinjam daripada seorang wanita untuk melakukan kegiatan itu.

“Pemeriksaan lanjut juga menemui lima kesan cap jari di lokasi kejadian sebelum usaha mengesan suspek dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Safuan berkata, suspek kemudian ditahan sekitar 5.30 petang semalam oleh pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim.

“Siasatan juga mendapati suspek kedua memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kes pecah bangunan dan samun manakala suspek ketiga memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah, Seksyen 7 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

“Beberapa kotak sarang burung turut ditemui semula dan suspek akan direman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 10:14 AM