GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


MALAYSIA dan Belanda mengulangi komitmen untuk mendapatkan kebenaran, keadilan dan kebertanggungjawaban untuk mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines, MH17 dan waris yang terbabit.

Perkara berkenaan dinyatakan menerusi kenyataan bersama Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Luar Belanda, Stef Blok susulan mesyuarat dua hala antara kedua-dua pihak sempena lawatan kerja Blok ke Malaysia.

“Tarikh 17 Julai menandakan lima tahun sejak kejadian membabitkan pesawat MH17 dan tragedi ini mengakibatkan 196 rakyat Belanda dan 43 rakyat Malaysia kehilangan nyawa. Tragedi ini juga mendekatkan Malaysia dan Belanda.

“Pihak berkuasa Malaysia dan Belanda akan terus bekerjasama dalam pasukan penyiasatan bersama untuk menentukan kebenaran dan mencari pelaku yang bertanggungjawab,” katanya, hari ini.

Pada masa sama, selepas mesyuarat dua hala berkenaan, Blok bertemu dengan waris mangsa tragedi MH17 dan Kementerian Luar diwakili oleh Timbalan Menterinya, Datuk Marzuki Yahya.

Selain itu, kenyataan itu menyebut, mesyuarat berkenaan membincangkan isu kepentingan bersama meliputi serantau dan global, malah kedua-dua menteri mengesahkan hubungan dua hala yang cemerlang serta menyatakan kehendak untuk meningkatkan lagi kerjasama.

“Kedua-dua menteri bersetuju untuk meningkatkan lagi hubungan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

“Belanda ialah pelabur ketiga terbesar di Malaysia dengan lebih 200 syarikat Belanda pada masa ini aktif di Malaysia.

“Selain itu, Belanda ialah destinasi eksport ke-12 terbesar bagi Malaysia dan tahun lalu, jumlah dagangan antara kedua-dua negara ialah RM32.57 bilion (USD7.82 bilion) yang mana eksport dari Malaysia ke sana bernilai RM25.80 bilion (USD6.19 bilion),” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, kedua-dua negara membentuk hab di rantau masing-masing dengan Malaysia ialah pintu masuk ke ASEAN manakala, Belanda pula pintu masuk ke Eropah.

Katanya, Malaysia dan Belanda juga mempunyai minat jelas dalam sistem perdagangan antarabangsa yang berfungsi dengan baik.

Justeru, dalam hal ini, Blok menekankan mengenai kepentingan ekonomi Malaysia dan Belanda untuk meneruskan perbincangan mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia.

Dalam pada itu, beliau mengambil peluang menyampaikan penghargaan kerajaan Belanda kepada Malaysia atas kerjasama melindungi kubur perang Belanda di perairan Malaysia.

Katanya, kedua-dua pihak menyimpulkan iaitu Malaysia dan Belanda akan terbabit dalam ekspedisi menyelam untuk menyiasat keadaan tapak berkenaan serta seterusnya, menubuhkan pelan pengurusan bersama.

Berhubung isu minyak sawit, Belanda dan Malaysia berbincang untuk bekerjasama dalam perkara mengenai pengeluaran dan penggunaan minyak sawit berkekalan.

Belanda adalah pengimport terbesar minyak sawit Malaysia di Eropah dan Blok menyokong dasar kerajaan Malaysia untuk meningkatkan kelestarian minyak sawit dalam setiap langkah rantaian nilai.

Saifuddin pula menegaskan kepentingan minyak sawit di Malaysia, khususnya bagi 650,000 pekebun kecil yang terbabit dalam industri ini.

Kenyataan bersama itu turut menyebut, Blok menyatakan sokongan terhadap cita-cita kerajaan Malaysia terhadap hak asasi manusia, seperti penyertaan kepada konvensyen hak asasi manusia dan langkah ke arah penghapusan hukuman mati.

Katanya, Blok menyampaikan penghargaan ikhlas Belanda kepada penyertaan Malaysia kepada Statut Rome awal bulan ini.

Sementara itu, kenyataan itu juga menyebut, kedua-dua pihak mengulangi semula kepentingan Perjanjian Kawalan Senjata Nuklear (NPT) sebagai asas perlucutan dan pengawalan senjata nuklear serta bersetuju untuk bekerja rapat ke arah kejayaan Persidangan Kajian NPT 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 11:25 PM