Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


SEORANG penolong penguat kuasa sebuah kementerian di Selangor ditahan reman tujuh hari hingga Rabu bagi membantu siasatan menerima suapan RM9,000, tiga minggu lalu.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Khairul Nizam Abu Bakar di Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini.

Terdahulu, suspek berusia 38 tahun itu tiba di mahkamah pada 10.50 pagi, memakai baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


SUSPEK diiringi pegawai SPRM selepas memperoleh perintah tahanan reman. FOTO Saddam Yusoff.

Sumber berkata, dia ditahan kira-kira 2.30 petang semalam di pejabatnya di Shah Alam.

“Siasatan awal mendapati suspek meminta suapan RM9, 000 sebagai balasan bagi melepaskan pasport pekerja asing warga Bangladesh dan suapan itu diambil pada 7 Mac lalu ketika pemeriksaan dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salam ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Sekyen 17(a)Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 5:13 PM