Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


PENJENAYAH yang tercicir dokumen pengenalan dirinya sewaktu merompak seunit telefon pintar di sebuah premis kelmarin, akhirnya ditahan di kediamannya di Mata Ayer, Arau pada hari sama jenayah itu berlaku.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, suspek berusia 38 tahun itu direman selama empat hari bermula semalam sehingga 30 Mac ini bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, suspek mengakui bahawa dia tidak boleh lari selepas kad pengenalannya ditularkan pemilik premis di Facebook (FB).

“Seolah mengetahui dirinya bakal ditangkap atas kesalahan merompak, dia tidak melarikan diri sebaliknya menunggu polis menjemput di rumah.

“Pihak kami menahannya di sebuah rumah di Mata Ayer mengikut alamat tertera pada kad pengenalannya yang tercicir itu dan suspek memberikan kerjasama sepenuhnya sewaktu penahanan dilakukan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Wari berkata, keluarganya juga tidak mengganggu tugas polis dan mengetahui kegiatan suspek.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan atas kesalahan merompak.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan identiti seorang perompak terbongkar apabila beg mengandungi dokumen pengenalan dirinya tercicir selepas mencuri telefon bimbit di sebuah premis di Kangar, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, suspek datang ke premis itu dan berpura-pura berlagak pelanggan sebelum bertindak melarikan sebuah telefon bimbit.

Bagaimanapun suspek tercicir sebuah beg yang mengandungi dokumen pengenalan dirinya selepas berlaku pergelutan antara suspek dengan pemilik premis berkenaan.

Berita berkaitan

Kantoi selepas beg berisi dokumen cicir

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 4:14 PM