MYSALAM dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, awal tahun lalu. FOTO Arkib NSTP.
Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my


KERAJAAN bersedia mempertimbangkan cadangan untuk menaikkan had umur kelayakan penerima bantuan Skim Perlindungan Kesihatan Nasional, mySalam.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, inisiatif mySalam bertujuan menyediakan perlindungan kesihatan takaful percuma kepada individu berpendapatan rendah (B40) berumur 18 hingga 55 tahun.

“Buat masa ini, apa yang ditawarkan di pihak swasta adalah dari 18 hingga 55 tahun. Yang lebih itu dianggap ‘non-insurable’ (tidak layak untuk perlindungan) tetapi kerana ini adalah inisiatif kerajaan, oleh itu kita akan pertimbangkan cadangan sama ada kita boleh lanjutkan sikit (umur),” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya) mengenai sama ada kerajaan bercadang menaikkan had umur penerima mySalam kerana ramai yang mengalami penyakit seperti Alzheimer pada usia melebihi 55 tahun.

Terdahulu, ketika menjawab soalan asal Maria mengenai apa terjadi kepada baki dana sekiranya jumlah tuntutan kurang daripada jumlah dana itu, Lim berkata, lebihan atau keuntungan akan disalurkan kembali ke skim mySalam.

Menurutnya, satu tabung amanah diwujudkan bagi tujuan mengurus sumbangan daripada penanggung insurans dan pengendali takaful kepada skim berkenaan.

Katanya, inisiatif mySalam itu dilaksanakan dengan kerjasama syarikat insurans, Great Eastern Holdings yang menyumbang caruman dana permulaan sebanyak RM2 bilion .

“Sebagai permulaan, skim itu ditawarkan melalui Great Eastern Takaful Berhad, pengendali takaful yang didaftarkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia.

“Skim itu menyediakan pembayaran sebanyak RM8,000 sekali gus, mereka yang disahkan menghidap mana-mana satu daripada 36 penyakit kritikal termasuk kanser dan penyakit jantung,” katanya.

Skim mySalam juga menyediakan bayaran penggantian pendapatan sebanyak RM50 sehari untuk tempoh maksimum 14 hari, atau RM700 setiap tahun kepada mereka yang menerima rawatan di mana-mana hospital kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 1:24 PM