Shahrinnahar Latib
cnews@nstp.com.my


PENYELAM profesional di Kuantan sanggup menyerahkan maklumat perbankan internet miliknya kepada sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai inspektor polis kononnya untuk penukaran ‘pita magnetic kod’.

Tindakan lelaki berusia 50 tahun itu yang terlalu percaya dengan sindiket berkenaan membawa padah apabila semua wang di dalam akaunnya berjumlah RM6,820 dipindahkan ke dalam akaun lain yang dipercayai milik sindiket itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, pada Selasa lalu, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki kononnya kakitangan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Lelaki berkenaan memberitahu permohonan kad kredit Master Card Gold Ambank mangsa sudah diluluskan, namun mangsa menafikan ada membuat permohonan kad kredit dengan pihak Ambank.

“Suspek kemudian memberitahu terdapat pengeluaran sebanyak RM6,000 daripada kad kredit itu dan talian akan disambungkan kepada seorang ‘anggota polis’ berpangkat inspektor untuk menukar ‘pita magnetic kod’ pada kad berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, ‘inspektor’ itu meminta mangsa menyerahkan maklumat akaun bank serta nama pengguna dan kata laluan perbankan internet kononnya untuk tujuan penukaran ‘pita magnetic kod’.

“Selepas semua selesai, mangsa membuat semakan ke atas akaun miliknya dan mendapati wang berjumlah RM6,820 sudah dipindahkan ke akaun lain yang dipercayai milik sindiket itu.

“Mangsa menghubungi pihak BNM dan dinasihatkan untuk membuat laporan polis bagi siasatan lanjut. Mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, semalam,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohd Wazir berkata, seorang kakitangan kerajaan berusia 42 tahun di sini, kerugian RM5,000 selepas diperdaya dalam urusan pembelian kereta terpakai di dalam laman jual beli terkemuka, Isnin lalu.

Beliau berkata, mangsa lelaki itu pada mulanya berminat untuk membeli kereta jenis Toyota Corolla SEG yang diiklan di dalam laman web berkenaan dengan harga RM5,899.

“Dia kemudian menghubungi seorang lelaki sebelum diminta memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan. Mangsa memindahkan wang sebanyak RM5,000.

“Namun selepas memasukkan wang yang diminta, suspek terus gagal dihubungi. Mangsa yang berasa ditipu oleh suspek kemudian membuat laporan polis di IPD Kuantan, semalam,” katanya.

Katanya, susulan laporan dibuat kedua-dua mangsa, polis membuka kertas siasatan kes ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 10:51 AM