ZAIDI (kanan) menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada pemenang. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat

PELUANG pembayar cukai tanah di Melaka untuk memperoleh hadiah menerusi Kempen Bayar Cukai Tanah dan Menang lebih cerah berikutan langkah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri bersetuju untuk melakukan cabutan nama bertuah setiap bulan.

Pengarah PTG negeri, Datuk Zaidi Johari berkata, berbanding secara tahunan sebelum ini, kaedah berkenaan dilihat sebagai satu daripada usaha untuk memberi galakan kepada pembayar cukai untuk melunaskan bayaran kepada dengan cepat sebelum tarikh akhir yang ditetapkan pada 31 Mei setiap tahun.

Beliau berkata, sejak dimulakan Januari lalu, pendekatan baharu itu merancakkan lagi kempen bayaran cukai tanah selain memberi peluang kepada lebih ramai pembayar untuk mendapatkan hadiah yang ditawarkan.

“Kaedah pemilihan nama bertuah juga ditukar daripada dilakukan secara rawak menerusi cabutan kepada sistem eletronik yang lebih telus dan sistematik, sekali gus menghindar rasa tidak puas hati dalam kalangan pembayar cukai,” katanya pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang bertuah Kempen Bayar Cukai Tanah dan Menang di Pejabat Daerah Jasin, hari ini.

Seramai 50 pembayar cukai bertuah seluruh negeri yang terpilih bagi bulan Februari itu menerima hadiah berupa baucer beli-belah serta barangan eletrik.

Turut hadir, Ketua Penolong Pegawai Daerah Jasin, Muhammad Ridzwan Yap Abdullah dan Ketua Penolong Pegawai Daerah Melaka Tengah, Ahmad Khairul Nazli Abu Ishak.

Dalam pada itu, Zaidi turut menasihatkan pemilik tanah yang belum membayar cukai tanah supaya segera berbuat demikian bagi membolehkan nama mereka dimasukkan ke dalam sistem cabutan nama bertuah.

Katanya, pada masa sama, pembayaran cukai tepat pada waktunya itu juga mampu meningkatkan ekonomi negeri sekali gus membolehkan segala bentuk perancangan pembangunan dapat dilakukan.

“Kepada yang sudah melunaskan cukai, saya berterima kasih dan berharap mereka dijadikan contoh kepada pemilik tanah lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 7:06 PM