ANGGOTA bomba mengangkat mayat lelaki dipercayai warga tempatan yang ditemui terapung dalam tasik berhadapan PD Waterfront, Port Dickson. FOTO ihsan bomba
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my


MAYAT lelaki ditemui terapung dalam tasik berhadapan PD Waterfront, Port Dickson, hari ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, mayat ditemui orang awam pada jam 11.09 pagi sebelum menghubungi polis.

Beliau berkata, sepasukan anggotanya bergegas ke lokasi dan mendapatkan bantuan bomba untuk mengangkat mayat berkenaan.

“Berdasarkan kesan suntikan BCG pada lengan kiri, lelaki itu dipercayai warga tempatan. Pemeriksaan awal pada badan mayat tidak menemui sebarang unsur jenayah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, hari ini.

Menurutnya, ketika ditemui, mayat itu lengkap berpakaian, namun tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri.

“Pemeriksaan dalam poket seluar menemui kunci kereta dan ia milik sebuah kereta jenis Honda yang diletakkan berhampiran PD Waterfront.

“Kereta itu didaftarkan atas nama seorang lelaki Cina berusia 33 tahun beralamat di Taman Muhibbah, Port Dickson,” katanya.

Katanya, ahli keluarga lelaki itu sudah dimaklumkan mengenai penemuan itu dan mereka sudah membuat pengecaman di Hospital Port Dickson, hari ini.

“Pada masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), namun siasatan lanjut masih dijalankan,”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 5:54 PM