MOHD Khalil (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas sambil diperhatikan Ketua JSJN Johor, Asisten Komisioner Lukas Aket (dua kiri). FOTO Hairul Anuar Rahim
Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my


POLIS menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis syabu yang menggunakan bungkusan teh Cina hasil dua serbuan membabitkan nilai rampasan berjumlah RM9.5 juta di Iskandar Puteri, Isnin lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, serbuan dilakukan hasil soal siasat terhadap empat supek yang ditahan dalam serbuan di Ulu Tiram pada 19 Mac lalu.

Menurutnya, hasil soal siasat dan intipan dilakukan, pihaknya menahan empat lelaki yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire di Iskandar Puteri pada 1.30 tengah hari.

Katanya, hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan dadah jenis syabu seberat 190.7 kilogram bernilai RM9.53 dalam kenderaan itu.

“Semua dadah itu dibungkus dalam bungkusan teh Cina, modus operandi sama seperti tangkapan sebelum ini.

“Selain merampas dadah dan kenderaan, polis turut menahan empat ahli sindiket berusia 35 hingga 48 tahun.

“Kejayaan ini susulan siasatan daripada maklumat hasil tangkapan terbesar dadah jenis sama di Ulu Tiram pada 19 Mac lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru, hari ini.

Menurutnya, ia susulan kejayaan rampasan dadah terbesar pada 19 Mac lalu iaitu seberat 2.06 tan bernilai RM103.2 juta.

Beliau berkata, polis percaya dadah itu untuk pasaran luar negara.

Katanya, keempat-empat suspek direman hingga 31 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis percaya dadah itu boleh menampung seramai 380,000 penagih.

“Kami juga menggandakan usaha dan bekerjasama dengan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Matirim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk membanteras pengedaran dadah di negeri ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 5:24 PM