MAZLAN (tengah) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas daripada sepasang kekasih yang aktif mengedar dadah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Asyraf Hamzah
Hasbi Sidek
am@hmetro.com.my


BAGI mengelak identiti mereka diketahui pelanggan, pasangan kekasih yang aktif menjual dadah di ibu negara didapati meminta pelanggan mengambil bahan terlarang yang dijual di bahagian bawah mana-mana kenderaan yang diletakkan di sebuah pasar raya di Kuchai Lama, Kuala Lumpur.

Pasangan berusia 28 dan 40 tahun itu juga didapati mempromosikan jualan mereka menggunakan aplikasi Wechat selain meminta pelanggan memindahkan wang terlebih dahulu ke dalam akaun milik individu lain.

Selain itu, pasangan berkenaan juga dikesan menjual ekstasi yang dicampur dengan serbuk minuman pada harga lebih murah berbanding di pusat hiburan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, hasil risikan dan maklumat, pihaknya berjaya menahan pasangan kekasih itu di Sungai Besi pada 23 Mac lalu dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM590,779.

“Bertindak atas maklumat, kira-kira jam 1.30 tengah hari, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Brickfields menahan seorang wanita di parkir sebuah kondominium dekat Sungai Besi dan merampas tiga paket plastik mengandungi serbuk ketamin seberat 2.4 gram dan dua paket serbuk methaphetamine seberat 1.5 gram.

“Hasil soal siasat, pasukan sama menyerbu sebuah unit kondominium di lokasi sama, kira-kira jam 2.30 petang dan menahan seorang lelaki berusia 40 tahun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, serbuan di kondominium itu menemui 74 paket plastik mengandungi serbuk MDMA (campuran methaphetamine dengan ekstasi) seberat 5,813 gram, 140 pil ekstasi, 230 pil eramin dan satu paket plastik mengandungi ketamin.

“Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah membabitkan dadah selain ujian air kencing juga positif methaphetamine,” katanya.

Beliau berkata, suspek wanita direman hingga 2 April manakala suspek lelaki direman hingga 29 Mac. “Kedua-dua mereka disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 3:44 PM