ENAM pendaki terkandas hampir tiga jam di puncak Bukit Tok Dun, Ulu Pauh, Arau. FOTO Ihsan Bomba
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


ENAM pendaki terkandas hampir tiga jam di puncak Bukit Tok Dun, Ulu Pauh, Arau, hari ini selepas seorang daripada mereka sesak nafas ketika menuruni bukit berkenaan.

Bagaimanapun, kesemua mereka berjaya diselamatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Arau selepas kumpulan terbabit menghubungi talian kecemasan, 6.18 petang hari ini.

Pegawai Kanan Bomba 2, Rusnani Abu Seman berkata, seramai empat anggota dari Balai Bomba Dan Penyelamat Arau bergegas ke lokasi berkenaan selepas menerima laporan itu.

Katanya, kesemua mereka buntu dan cemas selepas seorang daripada pendaki yang menghidap asma sesak nafas dan tidak dapat meneruskan perjalanan pulang.

“Kesemua pendaki yang berusia antara 12 hingga 37 tahun itu memulakan pendakian mereka 3 petang tadi.

“Namun ketika dalam menuruni bukit berkenaan, pendaki wanita yang berusia 37 tahun itu secara tiba-tiba mengadu sakit dada dan meminta pendaki lain menghubungi bomba.

“Memandangkan mangsa adalah ketua kumpulan pendaki berkenaan, lima lagi pendaki masih muda dan tidak berpengalaman bertindak menghubungi pihak kami bagi meminta bantuan,” katanya ketika dihubungi.

Rusnani berkata, kesemua mereka berjaya dibawa turun oleh anggotanya kira-kira 7 petang hari ini.

Mangsa yang mengalami sesak nafas enggan dibawa ke pusat rawatan kerana serangan asma itu bukanlah kali yang pertama berlaku terhadapnya.

“Operasi tamat sepenuhnya 7.28 petang tadi dan kesemua mereka dibenarkan bersurai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 10:50 PM