Mohd Asri. FOTO Arkib NSTP
Idris Musa
idris@hmetro.com.my


“BAGI saya, peristiwa kereta dibakar tidaklah begitu besar.

“Siapalah saya melainkan seorang pendosa yang menumpang di pinggiran ‘kafilah’ perjuangan dakwah yang besar,” kata Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Beliau menyingkap perjuangan nabi ada yang dibunuh dan dicederakan, malah Nabi Muhammad SAW pernah dilontar dengan batu di Taif sehingga luka dan darah mengalir pada tubuhnya.

Malah, katanya, Khalifah Umar al-Khattab mati ditikam ketika bersolat, Khalifah Utsman Affan mati dibunuh pemberontak ketika membaca al-Quran dan dalam keadaan berpuasa, manakala Khalifah Ali Abi Talib ditikam oleh Khawarij ketika solat.

“Alhamdulillah, setakat ini saya dan keluarga tidak trauma. Kehidupan kami seperti biasa. Bahkan kami tidak bersembang banyak tentang hal itu.

“Sekarang pula waktu cuti sekolah. Anak pulang bercuti. Kebetulan kerja pun banyak dan bajet kami untuk bercuti ke mana-mana tidak mengizinkan di saat ini, maka kami banyak bersama di rumah sahaja.

“Pagar kami masih tidak tutup seperti biasa. Cuma, kami agak beringat untuk memastikan pintu rumah berkunci ketika waktu tidur,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Baru-baru ini, kereta rasmi beliau terbakar pada bahagian enjin, selain cermin kereta itu turut dipecahkan dipercayai perbuatan khianat di kediamannya di Jalan Persiaran Wawasan, Kangar awal pagi Jumaat lalu.

Mohd Asri berkata, beliau berterima kasih kepada ramai yang menghantarkan mesej mengingatkannya bahawa tidak wajar beliau mengambil ringan soal keselamatan rumah.

“Ini kerana mereka membaca tulisan saya sebelum ini yang pagar rumah saya sentiasa terbuka 24 jam. Saya hargai nasihat itu. Saya akui benarnya nasihat itu,” katanya.

Menurutnya, tiada apa di dalam rumahnya melainkan buku memenuhi ruang sebagai khazanah beliau.

“Barang lain yang paling saya sayangi ialah laptop yang saya akan simpan di tempat selamat apabila waktu tidur atau kami tiada di rumah.

“Itupun bukan kerana harganya tetapi kerana isinya yang mengandungi hasil kerja saya. Adapun pada anak isteri saya, kami semua marhaen biasa.

“Tiada emas dan perhiasan mahal di tubuh. Jika ada pun kadarnya yang terlalu sedikit.

“Tidak perasan pun ia wujud. Bak kata orang tak balik modal jika pencuri masuk mencuri,” katanya.

Beliau berkata, ramai orang tidak tahu bahawa rumah yang beliau tinggal hanyalah rumah sewa.

“Sudah lima tahun saya berada di Perlis sebagai Mufti Perlis untuk kali kedua. Kami sewa rumah yang ada ini. Kami tiada rumah di Perlis.

“Cuma, sekarang saya sedang menyiapkan rumah sendiri. Jika ada rezeki kami mungkin akan pindah ke rumah sendiri,” katanya yang turut menjelaskan masih ada Proton Saga dan Estima yang agak berusia untuk kegunaan keluarga.

Berita berkaitan:

  • Polis nasihat Dr MAZA berjaga-jaga
  • 2 lelaki diburu
  • 'Bersangka baik sahaja'
  • Kereta Dr MAZA dibakar, cermin dipecahkan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 10:30 PM