Dr Mahathir menaiki Jet Embraer’s E190-E2 ketika lawatan di Tarmec sempena LIMA‘19 edisi ke-15. FOTO Eizairi Shamsudin
Salman Hamat dan Hamzah Osman
am@hmetro.com.my


PESAWAT milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) masih dalam keadaan terbaik dan mampu memikul tanggungjawab mempertahankan ruang udara negara, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, Malaysia berminat dengan tawaran negara luar untuk membekalkan pesawat baharu kepada TUDM, namun negara belum berada pada tahap perlu untuk melakukan pembelian.

“Memang pesawat lama, tapi diselenggara dengan baik, boleh berfungsi dengan baik serta tahan untuk tempoh yang lebih lama lagi,” katanya pada sidang media di MIEC, semalam.

Beliau berkata, demikian ketika menjawab soalan wakil media mengenai tawaran pesawat tempur Rafale dan Eurofighther Typhoon sebagai pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA) untuk kegunaan TUDM.

Dr Mahathir turut memuji pesawat tempur TUDM yang memberikan persembahan yang baik ketika acara pembukaan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi, semalam.

Sementara itu mengulas mengenai hari pertama LIMA’19, beliau berkata, penganjuran edisi ke-15 kali ini berjalan dengan baik dan dianggap sebagai satu kejayaan membanggakan.

“Bila kita nyatakan hasrat untuk anjurkan LIMA’19, kita menerima banyak maklum balas daripada pelbagai pihak berminat untuk melabur.

“Saya puas hati LIMA sudah jadi acara antarabangsa dan akan berlangsung lebih lama lagi,” katanya.

Dr Mahathir berkata, meskipun menerima banyak cadangan pelaburan, namun hasilnya tidak dapat dilihat dalam masa singkat kerana memerlukan kajian membabitkan pelbagai aspek.

Beliau mengakui, kesempatan merasmikan LIMA’19 mengembalikan memori ketika melancarkan edisi pertama pameran itu pada 28 tahun lalu hingga berjaya menarik perhatian dunia dan terus berkembang.

Kali terakhir beliau merasmikan pameran itu pada 2003 sebelum meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri yang keempat.

Terdahulu, beliau mengadakan perjumpaan bersama wakil negara utama dunia seperti Perancis, Russia dan Jepun.

Mengikut rekod, pesawat pejuang Su-30MKM sudah berkhidmat bersama TUDM lebih 10 tahun, Hawk108/208 selama 25 tahun, F/A-18D Hornet sudah 20 tahun dan helikopter Nuri pula lebih 50 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 9:16 PM