Roslan (dua dari kanan) bergambar kenangan ketika bersama peserta selepas majlis perasmian pelepasan Ekspedisi Amphibious Craft dari Melaka ke Langkawi. FOTO Rasul Azli Samad
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mencipta rekod Malaysia Book of Record dengan pelayaran terjauh menerusi Ekspedisi Amphibious Craft dari Melaka ke Langkawi.

Ekspedisi itu membabitkan pelayaran pada jarak 388 batu nautika bersamaan 718.5760 kilometer selama enam hari.

Wakil Malaysia Book of Records, Lee Pooi Leng berkata, antara syarat yang diperlukan untuk mencipta rekod ini adalah dengan melepasi minimum syarat jarak 600 kilometer yang ditetapkan mereka.

Beliau berkata, APM melepasi syarat itu dan berjaya mencipta rekod yang belum pernah dilakukan sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab berkata, program itu disertai 130 peserta yang terdiri pegawai tetap, pegawai bersekutu, rakan strategik dan penaja, selain diiringi pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Beliau berkata, program ekspedisi bermula di Pantai Klebang, Melaka ke Pantai Bagan Lalang di Selangor, Hutan Melintang di Perak, UniKL MIMET Lumut di Perak, Pantai Batu Feringgi di Penang dan tiba di Pantai Chenang, Langkawi hari ini.

Menurutnya, ekspedisi itu membabitkan 14 buah bot jenis Amphibious Craft, bot explorer 32' dan bot destini.

“Program ini julung kali diadakan untuk menguji ketahanan fizikal, kecekapan pengendali dan kelasakan aset, selain memperlihatkan keupayaan dan kecekapan APM dalam menangani kes kecemasan di pesisir pantai melalui perkhidmatan Penyelamat Pantai (Baywatch).

“Selain itu, ia dapat mengukuhkan jaringan strategik antara APM, pengeluar produk, sektor korporat, semua penaja dan media,” katanya pada sidang media Pantai Cenang, hari ini.

Majlis Sambutan Ketibaan semua peserta dan bot dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Usahawan, Kolonel Kehormat (PA) Mohd Asmirul Anuar Aris.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi APM, Norhafifi Ismail, Setiausaha Politik Perdana Menteri Malaysia, Kolonel Kehormat (PA) Abu Bakar Yahya dan Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub.

Roslan berkata, jumlah keseluruhan bot Amphibious Craft yang dimiliki APM di seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak berjumlah 27 buah yang berfungsi untuk mempercepatkan operasi menyelamat di air termasuk banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 9:06 PM