ANGGOTA Bomba memadam kebakaran berhampiran Surau Darul Jalil di Pangsapuri Sri Rakyat Bukit Jalil. FOTO Zunnur Al Shafiq
Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@nstp.com.my


“KETIKA rumah kongsi terbakar, saya bekerja di tingkat 40 kondominium yang dalam pembinaan di lokasi berdekatan.

“Saya terpaksa turun menggunakan tangga kerana mahu menyelamatkan harta benda (di rumah kongsi), namun semuanya sudah terlambat,” kata buruh wanita warga Indonesia, Soleha Hassan, 35.

Solehah seorang daripada 250 mangsa yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran membabitkan 30 rumah kongsi berhampiran Surau Darul Jalil, Bandar Baru Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, Soleha di tingkat 40 kondominium yang dalam pembinaan, iaitu tingkat paling atas bangunan itu.

Rumah kongsi pekerja pembinaan yang musnah terbakar berkenaan terletak berdekatan kondominium berkenaan.

Mengimbas semula kejadian, Soleha berkata, dia terdengar jeritan mengenai kebakaran menyebabkan dia kelam kabut turun dari kondominium berkenaan bagi menyelamatkan harta benda miliknya di rumah kongsi itu.

“Turun sahaja memakan masa hampir setengah jam. Sebaik tiba di bawah, saya sudah terlambat kerana rumah kongsi itu musnah terbakar.

“Saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa, walaupun hanya sehelai baju,” katanya ketika ditemui Harian Metro di lokasi kejadian.

Soleha berkata, dia baru menetap di Malaysia sejak tiga bulan lalu tinggal di Malaysia bersama suami dan anak.

“Niat mahu mencari rezeki tetapi begini pula jadinya. Tidak mengapalah, saya reda dengan apa yang berlaku dan berharap perkara ini dapat diselesaikan segera,” katanya.

Sementara itu, Suliana Hawi, 24, pula berkata, ketika kejadian rumah kongsi berkenaan kosong kerana semua penghuni yang rata-ratanya warga Indonesia sedang bekerja.

“Ketika kejadian saya sedang mencuci (sebuah unit kondominium) di tingkat 20 dan tiba-tiba mendengar jeritan mengenai kebakaran.

“Saya terkejut dan berusaha turun secepat mungkin menggunakan tangga, tapi sudah terlambat,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan 3.10 petang sebelum 40 anggota bersama tujuh jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besi, Seputeh, Hang Tuah dan Sentul dihantar ke lokasi.

Menurutnya, kebakaran membabitkan empat blok kontena bertingkat dengan anggaran kemusnahan 90 peratus, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 7:59 PM