Muhammad Adib. FOTO Arkib NSTP
Syah Rul Aswari Abdullah dan Sarah Zulkifli
am@hmetro.com.my


SATU video lakonan semula berhubung kejadian yang berkemungkinan menimpa anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, pada insiden rusuhan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, ditayangkan di Mahkamah Koroner Shah Alam.

Video berdurasi dua minit 50 saat itu dibuat berdasarkan teori Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Lakonan semula itu menggunakan Fire Rescue Tender (FRT) dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang sama dan dilakonkan saksi inkues ini, termasuk anggota bomba.

Tayangan video di hadapan Koroner Rofiah Mohamad itu dipohon oleh peguam peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Syazlin Mansor untuk ditayangkan ketika prosiding berkenaan.

Video itu bermula dengan menunjukkan perjalanan dua kenderaan bomba ke lokasi kejadian di kuil berkenaan pada 27 November tahun lalu sehingga pengunduran jentera FRT dan van EMRS hingga menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Adib.

Rakaman itu ditayangkan dengan bantuan saksi ke-24, Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi.

Ahmad Hafizam berkata, video lakonan semula itu dirakam semula berdasarkan hasil maklumat yang diperoleh bersama Ketua Jabatan Perubatan Forensik HKL, Datuk Dr Mohd Shah Mahmud selepas melakukan bedah siasat.

“Polis meminta lakonan semula kejadian itu,” katanya ketika menjawab soalan Syazlin pada prosiding inkues kematian Muhammad Adib.

Menurut saksi itu, lakon semula itu dilakukan bagi mengenal pasti bagaimana kecederaan yang dialami berlaku terhadap Muhammad Adib, selain diminta polis.

“Daripada hasil bedah siasat, saya buat lawatan ke lokasi kejadian pada 22 Disember tahun lalu.

“Saya kemudian membuat andaian atau kebarangkalian bagaimana keadaan si mati berdasarkan bukti forensik,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan pandangannya terhadap kecederaan yang ada, Muhammad Adib keluar sendiri dari kenderaan itu pada malam kejadian.

Syazlin kemudian memohon mahkamah menunjukkan pakaian seragam bomba yang dipakai Muhammad Adib pada hari kejadian supaya ditunjukkan kepada Ahmad Hafizam.

SYAZLIN: Jika dilihat, berdasarkan uniform (pakaian seragam) bomba, ada butang tercabut?

DR AHMAD HAFIZAM: Ada. butang satu, dua dan empat.

SYAZLIN: Kalau ada orang tarik genggam pada butang satu dan dua serta kawasan perut, adakah ia meninggalkan kesan?

DR AHMAD HAFIZAM: Yang pertama, sangat sukar untuk tarik baju seseorang yang berada dalam kenderaan.

Yang kedua, jika tercabut tiga butang ini, paksaan ini akan mengakibatkan bukan sekadar butang tercabut kemungkinan ada koyakan pada baju.

Paksaan yang kuat pada leher akan menyebabkan geseran pada leher yang mana tidak dijumpai pada si mati.

Muhammad Adib, yang juga anggota van EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di IJN.

Prosiding inkues bersambung esok ini.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 7:27 PM