Guan Eng hadir pada sesi persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. FOTO Hafiz Sohaimi
Hairulazim Mahmud dan Fairul Asmaini Mohd Pilus
am@hmetro.com.my


KEPUTUSAN menjual aset di Hong Kong dibuat pentadbiran Barisan Nasional (BN) menerusi kaedah rundingan terus, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata, nilai yang diterima kerajaan BN jauh lebih rendah, iaitu RM1.1 bilion berbanding kerajaan sekarang.

“Keputusan menjual bangunan ini dibuat kerajaan BN kerana mereka tidak dapat tampung kos pembaikan sebanyak RM300 juta.

“Mereka buat keputusan jual dan buat rundingan terus dengan sebuah syarikat Malaysia dengan harga RM1.1 bilion.

“Apabila kita ambil tampuk pemerintahan, kita rasa ia tidak seharusnya dibuat secara rundingan terus kepada syarikat ini,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan BN tidak pernah mahu menjual aset negara di Hong Kong, tidak seperti yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan.

Bulan lalu, sebuah akhbar yang memetik laporan Ming Pao mendedahkan Kumpulan Evergrande China dalam perbincangan untuk membeli bangunan milik kerajaan Malaysia di Hong Kong.

Kerajaan merancang untuk menjual bangunan 28 tingkat itu pada harga HK$3.1 bilion atau kira-kira RM1.61 bilion yang terletak di Wan Chai, Hong Kong.

Mengulas lanjut, Lim berkata, Kabinet sudah membuat keputusan untuk meneruskan penjualan secara tender terbuka

“Kita yakin boleh dapat tambahan RM500 juta. Itulah perbezaan antara PH dan BN. Kita ada terima banyak surat dan yang paling tinggi RM1.6 bilion,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 6:50 PM