FOTO hiasan
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


BERANG tidak mendapat wang diminta, seorang anak tergamak mengugut ibunya menggunakan parang dalam kejadian di Ketengah Jaya, Dungun, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, mangsa berusia 58 tahun berada di rumah sebelum suspek berusia 20-an tiba-tiba meminta sejumlah wang.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, suspek dikatakan mengamuk dengan memecahkan barangan dalam rumah apabila mangsa enggan memenuhi permintaannya.

“Suspek turut bertindak di luar kawalan apabila mengugut mangsa dengan sebilah parang.

“Mangsa memberitahu suspek sering bertindak demikian setiap kali permintaannya mendapatkan wang tidak dilayan. Mangsa mengesyaki anaknya itu penagih,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa nekad membuat laporan di Balai Polis Ketengah Jaya pada hari yang sama kerana bimbangkan keselamatan diri dan ahli keluarga lain.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 506, Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 6:37 PM