Nurul Izzah hadir pada sidang media Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. FOTO Hafiz Sohaimi
Hairulazim Mahmud dan Fairul Asmaini Mohd Pilus
am@hmetro.com.my


AHLI Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar hairan dengan sikap pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang menempelaknya berikutan kenyataan beliau melabelkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ‘bekas diktator’.

Nurul Izzah berkata, gelaran itu pernah diungkapkan beliau sejak beberapa tahun lalu, termasuk dalam siri demonstrasi Bersih dan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14)

“Ia fakta daripada rekod saya. Saya cakap sebelum pilihan raya, cakap ketika demonstrasi Bersih 3.0 atau 4.0.

“Saya tak faham kenapa bercakap dalam forum berlainan, mengandungi mesej yang sama adalah sesuatu yang bermasalah,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mengulas reaksi pemimpin-pemimpin PH yang mengkritiknya berikutan gelaran bekas diktator terhadap Perdana Menteri.

Jumaat lalu, Nurul Izzah dalam wawancara dengan akhbar Singapura, The Straits Times menggelar Dr Mahathir sebagai bekas diktator.

Beliau turut mengaku sukar bekerja dengan Pengerusi PH itu.

Nurul Izzah turut berkongsi kekecewaannya berikutan kegagalan kerajaan menunaikan janji dan menggerakkan agenda reformasi seperti yang dirancang.

Berita berkaitan

Hormat pendirian Nurul Izzah - Saifuddin Nasution

Nurul Izzah letak jawatan anggota PAC

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 6:28 PM