ANGGOTA polis mengiringi tertuduh selepas Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 18 sebatan kerana merogol kekasih bawah umur, hari ini. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


BEKAS banduan dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 18 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini kerana merogol kekasihnya yang di bawah umur.

Hakim Wan Azimah Yaacob menjatuhkan hukuman selepas Wan Zulkifli Wan Mohamad, 30, mengaku salah terhadap enam tuduhan mengikut Seksyen 376(1), Kanun Keseksaan kerana merogol.

Bagi tuduhan pertama, dia didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 14 tahun di sebuah rumah dalam pembinaan di Kampung Sungai Lerek, Chalok, Setiu, pada jam 1 pagi, 3 November 2017.

Tertuduh mengulangi kesalahan sama di lokasi sama, masing-masing pada jam 2 dan 4 pagi pada tarikh sama.

Bagi tuduhan keempat, dia didakwa merogol mangsa di garaj sebuah rumah di Kampung Sungai Lerek, Chalok, Setiu, jam 12.30 tengah malam, 4 November 2017.

Tertuduh sekali lagi melakukan perbuatan terkutuk itu apabila merogol mangsa di sebuah rumah di kampung sama pada jam 2.30 pagi, 4 November 2017 dan di sebuah bangsal dalam hutan di kampung sama pada jam 12.30 tengah malam, 18 November 2017.

Bagi setiap kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan berasingan bermula hari ini.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Izzat Wan Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 15 bulan oleh Mahkamah Majistret Setiu pada 10 Disember 2017 atas kesalahan menculik mangsa sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 4:57 PM