DUA lelaki suspek diiringi Pegawai SPRM selepas Mahkamah Majistret Putrajaya membebaskan mereka daripada tahanan reman. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


MAHKAMAH Majistret di Putrajaya membebaskan dua lelaki termasuk pegawai kanan sebuah badan berkanun, yang sebelum ini direman bagi membantu siasatan skandal projek babitkan badan berkanun itu bernilai lebih RM30 juta.

Majistret Ahmad Asyraf Mohamed Kamal membenarkan pegawai berusia 48 tahun yang juga timbalan ketua pegawai eksekutif badan berkanun itu dibebaskan dengan jaminan RM100,000 berserta seorang penjamin.

Seorang lagi yang dibebaskan ialah pengarah urusan sebuah syarikat perundingan berusia 52 tahun dengan jaminan RM100,000 berserta seorang penjamin.

Pada 21 Mac lalu, kedua-dua individu terbabit ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara berasingan kira-kira jam 12.30 tengah hari dan 11 malam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas hadir memberi keterangan.

Sumber dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati pegawai kanan berkenaan dan pengarah itu bersubahat bersama tiga lagi individu yang direman sebelum ini, bagi mendapatkan kelulusan bagi tawaran perkhidmatan perisian sijil diakui sah tanpa mengikut peraturan di bawah bidang kuasa sebuah suruhanjaya perkhidmatan.

Berikutan itu, siasatan dijalankan SPRM mengikut Seksyen 16(a) (A) dan Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, kedua-dua individu itu dibawa ke mahkamah oleh pegawai SPRM kira-kira jam 9.30 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 11:46 AM