PERSEMBAHAN formasi Aerobatic ketika Majlis Pembukaan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA'19) yang akan berlangsung selama lima hari bermula 26 hingga 30 Mac di Pusat Pameran Antarabangsa Langkawi (MIEC). FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Salman Hamat dan Hamzah Osman
am@hmetro.com.my


“PERASMIAN yang hebat, malah aksi ‘muslihat udara’ oleh jet pejuang dan helikopter tak ubah seperti kelkatu baru keluar sarang,” kata Sabarudin Mohd Ali, 44.

Sabarudin yang juga kakitangan syarikat penerbangan berkata, perasmian Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) ini adalah terbaik dalam sejarah penganjurannya yang memasuki edisi ke-15.

Persembahan pembukaan selama tujuh minit itu membabitkan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) seperti pesawat pengangkut Airbus A400, pesawat pejuang F/A-18D Hornet, Su-30MKM, Hawk 108, Hawk 208, pesawat latihan PC-7, helikopter Nuri dan EC-725.

“Saya kagum melihat aksi ‘kamikaze’ juruterbang jet pejuang Su-30 MKM dan F/A-18D Hornet TUDM terbang rendah sambil melakukan manuver ketika pertunjukan udara berlangsung.

“Pada masa sama, terdapat beberapa pesawat lain termasuk helikopter sedang beraksi pada ruang udara sama,” katanya yang turut bertugas di kaunter pameran di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di Langkawi, semalam.

Safarina Abdul Keder, 39, petugas kaunter syarikat telekomunikasi, turut mengakui perasmian LIMA’19 kali ini adalah yang terbaik berbanding acara sama sebelum ini.

“Seolah-olah dalam medan perang apabila jet pejuang terbang rendah dan bertali arus, malah aksi akhir disertai letupan dan kepulan asap menjulang memang menarik.

“Aksi pesawat pengangkut TUDM, A400M bersama lapan pesawat pengiring turut menarik perhatian ramai tetamu yang menyaksikan perasmian LIMA kali ini,” katanya.

Perasmian pameran dwitahunan bertemakan Jaringan ‘Kecerdasan Pertahanan dan Perdagangan Komersil’ itu disempurnakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hadir sama, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 10:30 AM