EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis (tiga dari kanan) menyelusuri Sungai Ramuan Cina Besar, Lubok Cina bagi meninjau potensi pelancongan yang boleh dimajukan dekat Alor Gajah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar
cnews@nstp.com.my


SUNGAI yang kaya dengan pelbagai sumber semula jadi di Lubok Cina hingga ke Kuala Linggi, dekat Alor Gajah akan dimajukan dengan industri pelancongan ‘Melaka Ecoriver Cruise Phase II’ bagi meningkatkan kemajuan industri pelancongan berasaskan sungai.

Tempoh selama dua bulan mulai April ini diletakkan sebagai sasaran untuk membangunkan pinggir Sungai Ramuan Cina Besar sepanjang empat kilometer (km) ke Sungai Rembau dengan pembinaan chalet diperbuat daripada kayu bakau bagi memberi peluang kepada pelancong menikmati suasana sebenar kehidupan di pinggir hutan.

EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, kerajaan negeri akan memilih anak syarikat agensi kerajaan negeri sebagai peneraju utama bagi memajukan produk baharu industri berkenaan.

“Syarikat itu akan membina chalet berasaskan kayu bakau untuk pelancong yang gemarkan aktiviti kehidupan di pinggir hutan dan sungai sambil menikmati keseronokan memancing ikan dan udang galah.

“Projek ini membabitkan kerjasama dengan JAPERUN Ayer Limau, penduduk tempatan dan syarikat yang menyediakan kemudahan bot untuk pelancong,” katanya ketika ditemui dalam bot ketika meninjau lokasi pelancongan di Sungai Ramuan Cina Besar, di Lubok Cina, dekat sini.

Hadir sama EXCO Pertanian, Pembangunan Usahawan, Industri Asas Tani dan Koperasi negeri, Norhizam Hassan Baktee dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, Datuk Seri Ruslin Hassan.

Setakat ini kebanyakan pelancong tempatan dan asing menyelusuri sungai berkenaan dengan menaiki perahu atau bot penduduk tempatan tetapi tidak berpeluang menginap di chalet kerana kemudahan itu belum disediakan.

Muhammad Jailani berkata, pembangunan industri pelancongan seumpama itu akan membuka peluang perniagaan untuk masyarakat tempatan asalkan mereka mahu merebut peluang berkenaan.

Sementara itu, Norhizam berkata, agensi kerajaan di bawah portfolionya akan memberi kerjasama bagi menjadikan lokasi berkenaan sebagai destinasi selamat untuk dikunjungi, malah memiliki pelbagai daya penarik seperti kegiatan memancing ikan dan udang galah, selain haiwan liar seperti buaya yang boleh dilihat di habitatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 9:09 AM