Rosman Shamsudin
cnews@nstp.com.my


DUA beranak maut selepas dua lori tangki membawa muatan susu getah masing-masing dipandu mereka, dirempuh treler lain di Kilometer 379.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di Slim River, malam tadi.

Difahamkan, dua beranak terbabit sedang berhenti di lorong kecemasan ketika dirempuh.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, mangsa yang maut dikenalpasti sebagai Abu Bakar Ahmad,58, serta anaknya Mohamad Khirulafifi Abu Bakar,26, dan kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusuf berkata, siasatan awal mendapati lori dipandu Mohamad Khirulafifi menghadapi kerosakan dan memberhentikannya di lorong kecemasan.

Katanya, bapanya yang memandu sebuah lagi lori kemudiannya memberhentikan kenderaannya dihadapan lori anaknya itu bagi memberikan bantuan sebelum kedua-dua mereka turun untuk memeriksa lori berkenaan.


DUA maut dalam kemalangan membabitkan dua lori tangki membawa muatan getah dengan sebuah treler di Kilometer 379.8, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara. FOTO Ihsan Bomba



“Sedang memeriksa kesosakan, tiba-tiba datang sebuah treler yang dipandu lelaki berusia 29 tahun dari arah belakang dan merempuh bahagian kanan belakang lori yang rosak serta turut merempuh kedua-dua mangsa sebelum terbabas ke besi pembahagi jalan di tengah jalan.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat mereka dibawa ke Unit Forensik Hospital Slim River untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata, pemandu treler turut mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan manakala siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Harian Metro malam tadi melaporkan, dua maut dalam kemalangan membabitkan dua lori tangki membawa muatan susu getah dengan sebuah treler di lokasi berkenaan.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 7.18 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba anggota mendapati tiada mangsa yang tersepit di dalam kesemua kenderaan itu dan dua pemandu lori tangki disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Berita berkaitan

2 maut nahas lori tangki, treler

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 7:15 AM