Abdul Ghani menyertai VAT 69 selama 20 tahun bermula pada 1970 hingga 1990. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Siti Norshafikah Rosli dan Siti Hajar Yusof
am@hmetro.com.my


PERNAH cedera selama tiga bulan akibat jatuh ketika latihan payung terjun, selain terselamat dalam sembilan pertempuran menentang pengganas komunis.

Itu antara pengalaman Abdul Ghani Abdul Jamil, 70, yang menyertai pasukan 69 Komando atau Very Able Troops 69 (VAT 69) selama 20 tahun, bermula 1970 hingga 1990.

Katanya, dia sebak mengenangkan pengorbanan VAT 69 dan rakan seangkatan dahulu demi memastikan generasi kini dapat hidup aman.

“Sepanjang perkhidmatan dalam VAT 69, saya terbabit dalam sembilan pertempuran dengan komunis bagi menjaga keselamatan tanah air.

“Saya masih ingat apabila uji kaji bahan letupan yang saya hasilkan sehingga berjaya mengorbankan dua pengganas komunis ketika menjalankan operasi dalam hutan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Dewan Mutiara Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang selepas Majlis Perbarisan Peringatan sempena Hari Polis ke-212 di Georgetown, hari ini.

Bapa kepada 10 orang anak itu berkata, pengalaman yang tidak boleh dilupakan apabila beliau dan rakan sepasukan berjaya menembak lapan komunis dalam satu masa ketika bertempur di Bentong, Pahang.

“Itu antara pengamalan perit dalam sejarah hidup saya yang tidak dapat dilupakan sebagai seorang anggota, walaupun sudah bertempur dengan komunis di pelbagai lokasi.

“Saya juga berterima kasih kepada rakan seperjuangan dahulu yang tidak pernah gentar dalam menjalankan tugas,” katanya.

Abdul Ghani yang bersara sebagai Ketua Polis Balai Air Itam pada 2005 turut berterima kasih kepada ahli keluarga yang memberi sokongan kepada beliau sejak dahulu hingga sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 12:58 AM