Wan Muhammad Sulaiman bersama koleksi kaligrafi khat yang dihasilkannya. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my


MINAT terhadap seni kaligrafi membuatkan seorang pemuda nekad melepaskan kerjayanya sebagai arkitek pada akhir Februari lalu.

Percaturan Wan Muhammad Sulaiman Wan Yusof, 26, untuk memberi tumpuan kepada bidang itu ternyata membuahkan hasil apabila karyanya semakin menerima sambutan menggalakkan.

Wan Muhammad Sulaiman kini menerima tempahan peminat seni itu bukan saja di Semenanjung, malah hingga ke Sabah dan Sarawak.

Mengimbas minatnya dalam bidang seni itu, Wan Muhammad Sulaiman berkata, dia mempelajari seni khat ketika di Tingkatan Tiga di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin (SMAZA) pada 2008.

“Saya mula aktif sebagai pelukis khat sambilan dan menerima tempahan khat pada tahun akhir ketika melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Seni Bina di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Minat saya terhadap seni khat itu terlalu dalam sehingga berterusan melukis khat dan akhirnya mengambil tempahan pelanggan sehingga menjadi sumber rezeki saya,” katanya ketika ditemui di kedainya di Kampung Telaga Mengkudu di Marang, hari ini.

Wan Muhammad Sulaiman berkata, antara karyanya yang mendapat sambutan adalah kaligrafi khat untuk dijadikan hadiah perkahwinan.

“Nama pengantin ditulis menggunakan kaligrafi Arab selain turut diletakkan gambar pasangan berkenaan,” katanya yang sebelum ini bekerja di Selangor dengan pendapatan empat angka.

Menurutnya, sehingga kini, lebih 500 karya kaligrafi khatnya berjaya dijual di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

“Lebih 30 tempahan diterima pada setiap bulan dan sekarang masih ada 10 tempahan kaligrafi perkahwinan yang masih dalam proses untuk disiapkan.

“Tempahan bermula dengan harga RM80 dan ke atas bergantung kepada saiz serta bahan yang digunakan.

“Saya pernah menyiapkan tempahan kaligrafi Arab berharga RM1,500 dan ia tempahan termahal yang diterima setakat ini,” katanya yang pernah menjadi johan Pertandingan Khat Peringkat Sekolah Negeri 2010.

Katanya, dia mengambil masa antara dua jam hingga 15 hari untuk menyiapkan satu tempahan bergantung kepada saiz.

“Saya bertuah kerana isteri (Wan Rabiatul Adawiyah Wan Zaharin, 25) sentiasa memberi dorongan dan semangat untuk meneruskan minat ini.

“Hasrat saya untuk mengembangkan lagi perkhidmatan itu dan giat mempromosikannya melalui media sosial,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 12:17 AM