ADLY (iga dari kiri) ketika sidang media selepas Program Jalinan Mahabbah Umara' di Auditorium Masjid Al-Azim, Bukit Palah, Melaka. FOTO Rasul Azli Samad
Nurul Fhatihah Zakinan
am@hmetro.com.my


KERAJAAN Melaka menjalankan siasatan mengenai iklan penganjuran satu program yang didakwa berkaitan promosi lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negeri itu selepas ia tersebar di laman sosial.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, kerajaan negeri tidak mengiktiraf sebarang promosi berkaitan aktiviti LGBT di negeri itu dan akan mengambil tindakan wajar jika ia berlaku.

Menurutnya, kerajaan negeri melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (MAIM) akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu.

“Saya dapat lihat iklan (didakwa berkaitan promosi LGBT) di laman sosial dan di peringkat negeri akan siasat perkara itu kerana kita ada peruntukan undang-undang membabitkan beberapa perkara.

“Memang kerajaan negeri tidak membenarkan promosi dilakukan. Bagaimanapun, kita akan siasat dan mengambil tindakan wajar menerusi agensi berkaitan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan selepas merasmikan Program Jalinan Mahabbah Umara’ bersama Jawatankuasa Kariah Masjid Seluruh Negeri Melaka, di Masjid Al-Azim, Melaka, hari ini.

Di media sosial, satu iklan penganjuran mengenai satu program di Melaka yang bakal diadakan di sebuah hotel di Melaka, pada 30 April depan, tular selepas ia dikaitkan dengan aktiviti LGBT.

Netizen mengecam iklan yang memaparkan tiga individu berpakaian wanita masing-masing dipercayai berpengaruh dalam golongan LGBT.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 11:29 PM